Pages

Monday 3 October 2011

BILA...

Bila ditarik nikmat menulis, maka idea pun terhakis...


kekaburan yg melanda...
bikin hati galau dan tak cerna...
sedangkan selama ini petah berbicara...
seloka dan bersendawara...
semoga Tuhan kembalikan ceria...
demi memberi manfaat pada semua.

Monday 26 September 2011

YA HABIB. ANA RINDU :'(

Saturday 24 September 2011

MALU SANG PUTERI

عَنْ أَبِيْ مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو اْلأَنْصَارِيِّ الْبَدْرِيِّ
رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: إِنَّ مِمَّا
أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ اْلأُولَى، إِذَا لَمْ
تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amir: “Sesungguhnya antara apa yang didapati manusia daripada ucapan nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu’.” (Riwayat Bukhari #6120)

************************************************



Dan ketika dia(Musa) sampai di sumber air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) , dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan(ternakan mereka berdua). Dia bertanya: Mengapa dengan kamu berdua(menahan ternakan)? Mereka menjawab: Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengemba la itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”

Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”

Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami“. – Surah Al-Qasas ayat 23-25.

Di dalam kisah pendek tiga ayat ini, tersembunyi ‘ibrah yang sangat besar. Bukan hanya kisah pertemuan Musa dengan Anak Nabi Syu’aib yang kemudiannya mendidik kesabaran Musa. Bukan juga hanya kisah Musa yang baik hati membantu perempuan yang lemah. Bukan juga hanya kisah aturan Allah SWT yang cantik mengaturkan perjalanan Musa dalam rangka menjadikannya sebagai Nabi.

Tetapi di dalam tiga ayat ini, terdapat juga didikan untuk wanita.

Allah hendak menunjukkan bagaimana urusannya wanita dan lelaki, dengan menunjukkan sifat malu yang wujud dalam diri Anak-anak Syu’aib.

Wahai manusia, Allah sedang berbicara dengan anda berkenaan Sifat Malu.

Sifat malu yang sangat tinggi

Anak-anak Nabi Syu’aib tidak membenarkan diri mereka bercampuran dengan lelaki-lelaki lain walaupun mereka mempunyai kerja yang penting – memberikan minuman kepada ternakan mereka.

Mereka sanggup menahan ternakan mereka dan menanti walaupun keadaan itu sangat memberikan kekurangan kepada ternakan mereka nanti. Alasan lemah adalah alasan yang kedua. Alasan utama adalah kerana bergaulan, bercampuran dengan lelaki sememangnya menjatuhkan akhlak mereka.

Kita sendiri, kalau melihat perempuan tolak menolak dengan lelaki, berebut-rebut dengan lelaki, bersentuhan tangan, bergeselan badan, bagaimana agaknya persepsi kita?

Maka Anak-anak Syu’aib menanti. Biar lapang baru mereka pergi. Tidak melanggar adab pergaulan, dan tidak pula mengundag kecederaan.

Namun, melakukan sedemikian pastinya satu kekurangan untuk mereka. Kekurangan untuk binatang ternak mereka membesar dengan baik. Tetapi lihatlah Anak-anak Syu’aib, dunia dan akhirat yang mana mereka pilih?

Penjagaan diri mereka ini membuatkan mereka sangat mahal.

Tidak memanjangkan bicara 1 (kondisi diajak bicara)

Musa yang berehat di bawah pokok berdekatan hanya memandang. Pelik di matanya melihat dua orang perempuan berdiri menunggu di tepi sumber air bersama ternakan mereka. Pastinya dua perempuan itu bukan menanti suami atau ayah mereka siap memberi minum pada ternakan kerana keduanya membawa ternakan masing-masing.

Atas dasar ambil berat, Musa bangun dan bertanya.

“Mengapa dengan kamu berdua?”

Dan lihatlah bagaimana cantiknya akhlak Anak-anak Syu’aib. Lihatlah bagaimana mereka menjawab dengan kata-kata yang pendek, tidak meleret-leret, malah menutup lubang untuk menyambung bicara lain.

Terus sahaja mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengemba la itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”

Terus kepada point. – Kami tidak dapat memberi minum sehingga pengembala-pengmbal a itu mebawa balik binatang ternak masing-masing.

Menutup ruang untuk perbualan berpanjangan – dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.

Lantas Musa tidak menyambung perbualan mahupun bertanya lagi. Malah dia juga sudah tiada alasan untuk bertanya kerana segalanya telah terjawab dengan jawapan ringkas itu. 

Kata-kata “dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya” itu telah menjawab soalan-soalan seperti: “Habis, mana ayah awak?”, “Abang awak tak ada ke?”, “Ish, kesiannya, kenapa ya macam tu?” dan lain-lain.
Sangat bersih peribadi Anak-anak Syu’aib dalam menjaga diri mereka. Tidak berminat memanjangkan bicara yang tiada kepentingannya. Dan lihatlah pula kepada Musa, sangat bersih peribadinya dengan tidak mencari atau memikirkan mana-mana peluang lain untuk berbual, tetapi tanpa banyak bicara terus membantu ketika itu juga.

Tidak memanjangkan bicara 2 (kondisi pemula bicara)

Dan apabila Nabi Syu’aib melihat kedua anaknya pulang lebih awal dari biasa, dia kehairanan dan bertanya. Maka kedua anak itu menceritakan perihal lelaki yang berteduh di bawah pokok. Maka Nabi Syu’aib mengarah salah seorang anaknya pergi memanggil.

Lihatlah bagaimana anak itu, walau berseorangan, tidak lagi ditemani ahli keluarganya, tidak pula mengambil peluang bermanja-manja atau berkenalan dengan lelaki yang berjasa itu.

Malah dia berjalan dengan tersipu-sipu, berjalan atas sifat malu, dan terus berkata menyampaikan hajatnya:

“Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”

Tidak pula dia meleret-leret atau berpusing-pusing dahulu dengan sembang-sembang lain, tanya-tanya lain seperti: “Eh awak, terima kasih lah tadi ya. Awak baik sangat. Walaupun kita tak kenal… bla bla bla.”

Atau, “Awak siapa nama ya? Terima kasihlah tadi ya. Ah, ni ayah saya panggil. Dia kagum dengan awak. Yalah, siapa yang nak tolong perempuan masa ni… bla bla bla”

Tetapi Anak Syu’aib itu terus pada pointnya tanpa memanjangkan bicara – Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami – Habis cerita dan tiada lagi alasan untuk menyambung sembang baik dari Pihak Musa, mahupun pihaknya.

Dia melaksanakan amanah bapanya tanpa mengambil celahan pada amanah itu.

Bersihnya peribadi Anak Syu’aib. Sifat malunya sangat tinggi. Sangat menjaga budi pekerti. Tiada langsung apa yang dikatakan `gedik’ oleh manusia hari ini. Langsung tidak mengambil peluang berduaan dengan jejaka berjasa yang hebat itu. Dan lihatlah Musa. Bersihnya peribadi Musa, tidak pula mengambil peluang berduaan itu dengan memanjang-manjangkan sembang, mencari peluang berkenalan dan sebagainya.

Bagaimanakah kita hari ini?

Melihat Anak-anak Syu’aib, kita sepatutnya persoalkan diri kita.
Bagaimana kita hari ini?

Bila memberikan bantuan, bila meminta pertolongan, bila berbincang untuk sesuatu program di dalam mesyuarat, bila di Facebook, YM, dan di macam-macam situasi lagi. Bagaimanakah kita?

Di sini perlu kita lihat. Bagaimana Allah menunjukkan sikap Anak Syu’aib dan Musa AS. Anak Syu’ain mewakili perempuan, dan Musa AS mewakili lelaki. Bagaimanakah keadaan mereka, pergaulan mereka, akhlak dan peribadi mereka.

Adakah kita mencontohi?

Semestinya, anak-anak perempuan Syu’aib mempunyai akhlak yang sedemikian kerana terdidik dengan didikan ayahanda mereka, Nabi Syu’aib AS.

*********************************

Ya Allah, kurniakanlah sifat malu Anak Syu’aib itu kepada perempuan hari ini.
Ya Allah, kurniakanlah juga keindahan akhlak Musa itu kepada lelaki hari ini.

Friday 23 September 2011

PAHLAWAN AGAMA



Di masa budi hancur punah
Di waktu Islam hancur musnah
Ku terkenang nabi membawa hidayah
Pahlawan agama yang gagah

Pembawa undang-undang yang indah
Pembanteras perkara yang salah
Pemimpin umat yang berjasa
Handal pendekar lagi perkasa

Dengan ilmumu yang tajam
Memusnah musuh yang kejam
Biar musuh memutih di bumi
Namun undur tidak sekali

Sungguh kau berhati kota
Bersemangat besi waja
Kau pesuruh Allah tercinta
Wajahmu terbayang di ruang mata

Sejarah tetap menjamin
Jasamu menjadi cermin
Obor semesta negara sentosa
Dua panduan yang disedia

Panduan Al-Quran dan Sunnah
Peninggalanmu yang berharga
Dijadikan undang-undang dunia
Supaya dunia aman bahagia

SELIMUT DAN GUNTING

Hati tidak tenteram. Asyik terasa nak menderam. Menggumam. Oh, payahnya bila dalam hati ada dendam. Walau bukan kesumat namun masih buat hati kelam. Makin lama makin suram. Amalan sepertiga malam sepatutnya bisa memadam dendam. Dendam pada perosak agama Islam. Kafirun mudah ditentang kerana sudah ku tahu akan tiada salam. Si muslim yg menjadi tonggak rupanya  'makan dalam'. Ku serah pada Allah s.w.t supaya terkunci kalam, dari terus-terusan si munafik menghina Islam.



Sedari dulu ramai yg bersifat memusnah, bukan menjadi halnya jika Islam diinjak-injak seperti tanah, asalkan dapat memfitnah, menutup kekurangan hidupnya yg bernanah, sungguhpun terang lagi bersuluh dituntut qanaah, berhati-hatilah dalam sumpah-seranah.

Musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, duri dalam daging..panggilah apa sahaja tapi yg penting Rasulullah s.a.w sudah sebut akan sifat-sifat si munafik.

Pura-pura Islam tapi sebenarnya mahu Islam runtuh hanya kerana dendamnya terhadap agama yg suci ini. Bertaubatlah sebelum sakarat. Allahumma...

Thursday 22 September 2011

DENGARLAH RINTIHANKU ALLAHU AHAD

Malam ini sangatlah sunyi, walau kenderaan bertali-arus memecah sepi, tapi terasa dingin bak salji, yg turun dikala limpahan sinar mentari.




Sesungguhnya ini tanda perlu beruzlah, dengan si Dia Tuhanku Allah, untuk menambah cinta yg gundah, pasang surutnya cinta si khalifah.

Allahumma...hidup bersama-Mu adalah indah, walau sering dikerah tribulasi dan mehnah, aku tahu itu adalah tanda kau endah, sujud syukurku bila Kau masih mengizinkanku menyembah, mengadap-Mu Tuhan Yang Maha Gagah, aku hanya kerdil bagaikan sampah, namun ku tahu nilai manusia hanyalah disisi Allah, iman dan taqwa menjadi takah.

Allahu Rabbi...aku tahu Kau tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hamba-Mu, seperti firman-Mu dalam hadis qudsi yg mendamaikan hatiku...




“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

Ya Rabbul Izzati...istighfar adalah rintihanku, pengakuan dosaku di depan-Mu , kasihanilah dan kasihilah aku, perkenankanlah kehidupan yg melapangkan jiwaku, duhai Allah Yang Maha Tahu.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)


Tuesday 20 September 2011

RETORIK SEKAKI PAYUNG EMAS




Bagi mukminah yang taat kepada suami,
faham akan kebenaran agama terhadap poligami dan 
bersabar diatas kerenah suami, sudah tentu akan mendapat ganjaran daripada 
Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

GANJARANNYA ADALAH SYURGA.
(Tidak terjangkau dek fikiran apa yg ada disana. Minta sahaja apa yg terlintas, bahkan yg tiada sepertinya didunia, bakal menjelma disana.)

"Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa bulan bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta'at kepada suaminya, akan dikatakan kepadanya : Masuklah ke Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki [Hadis Ibn Hibban]


"Tidak ada kesukaran, penyakit, kekecewaan, luka, dugaan yang menimpa orang Islam, sehinggakan sekeping duri yang mencucuk dia, Allah swt akan mengkifarahkan baginya kesalahan-kesalahan". [Hadis Riwayat al-Bukhari : 5642, Muslim : 2573]


"Bala' akan terus menimpa orang yang beriman baik lelaki dan wanita, pada diri mereka, anak-anak mereka dan harta-harta mereka, sehingga dia bertemu Allah tanpa ada dosa keatasnya" [Hadis Riwayat al-Tirmidzi : 2399]



Nak payung emas? Sila beli sendiri. Simpan duit kemas-kemas, pilihlah payung mana yg berkenan dihati, tak perlu tunggu berpoligami, kerana dengan berkongsi suami, payung emas bukanlah suatu yg dijanji, bahkan ganjaran syurgawi itu adalah dalam pengetahuan Rabbi.

Wanita solehah adalah matlamat, walau tiada jodoh dari mana2 ummat, sungguh bertuah jika di akhirat selamat, dengan Tuhan Yang Memberi Rahmat dan Nabi Muhammad s.a.w menghulur syafaat.

Usah terasa kekurangan diri, jika ke akhir nafas masih bersendiri, demi-Mu Rabbi, walau hanya menjadi Rabiatul Adawiyyah yg sufi, asalkan bisa melihat wajah Allah di syurgawi, soalnya bersuami adalah suatu yg tidak menyusahkan hati, walaupun ia fitrah insani. 









Monday 19 September 2011

LU LANGSI, GUA TAMBAH BINI

Bab bermadu topik yg paling digemari, oleh lelaki yg mahu tambah isteri, oleh wanita untuk berperi sedihnya hati, padahal mahu cerita tingginya imaginasi, sedangkan hukum itu dibenarkan Ilahi.

Wahai wanita usah galau hati, qadar dari Rabbi usah disangsi, jika tiba masanya nanti, barulah fikir apa yg mahu diisi, dalam jiwa dan juga nurani.




Empunya diri ini sendiri tidak berani, mahu berkata-kata lebih dari yg sepatutnya hamba Ilahi, hanya kerana belum teruji, oleh manisnya madu yg bakal diberi, itupun jika sang suami 'buat-buat lupa diri', sudah punya isteri mahu ditambah lagi. ;)

'Sharing is caring' tagline diberi, oleh wanita yg mahu menjadi suri si suami, istilah perampas tiada dalam diary, kerana tahu dan sedar diri, bahawa lu langsi, esok-esok gua tambah bini lagi. ;)


TRAGEDI BULAN MADU

Si dara baru mengenal dunia, lalu mencuba-cuba kehidupan di alam maya, manalah tahu ada rezekinya, tak dapat jodoh nikahnya, bisa sahaja berkawan merata.

Lalu si dara mengetik kekunci, sambil jemari menari-nari, sebagai tinta dalam berperi, untuk memenuhi kehendak hati. Demikianlah si dara setiap hari, tiada jemu tiada membenci, walaupun kenalannya seribu dipatri, hanya sedikit yg benar-benar berinteraksi.

Suatu hari si dara menerima, huluran salam dari sang teruna, berbual mereka di buku yg bermuka. Ketawa-ketawa bagai digeletek, sang dewi suka mengekek, sang dewa pula tersenyum-simpul kerana berkesannya jari dipetik.

Sepurnama berlalu kisah manisnya madu, tiba saat duka lara bagai sembilu, putus sudah kasih-sayang melalui mukabuku, terjelepok menangis si dara kerana malu, habis segala aurat dan gambar diberi pada pemuda yg disangka bakal menjadi teman sehidup semati dulu.

Bertukar bulan berselang tahun, si dara akhirnya bertemu jodoh yg sering dipohon, menanti hari bahagia selalu dimohon, membina masjid kerana Allah bukannya harta karun. Alhamdulillah....

Malam pertama sungguh bermakna, untuk kedua2 mempelai yg pastinya teruja, bersama-sama melayar bahtera, impian mereka bersama selamanya, dengan harapan bahagialah rumahtangga, berlandaskan fitrah dan juga agama.

Tiba-tiba saat bermulanya bulan madu, ketukan dipintu bertalu-talu, dibuka daun pintu, oh, rupanya ayah dan ibu. Terkesima si suami bila direntap tangannya oleh si walid, sedangkan suami isteri ini sedang ralit, mahu melabuhkan lena yg ingin di ulit.

Mencerlang mata si ummi, melihat sang isteri yg inai masih merah dijari, rasa mahu ditampar pipi, namun masih tebal iman dihati. Ditangan walid dan ummi ada satu sampul, penuh gambar dan salinan aksi yg boleh bikin mata tersembul, dibelakang mereka seorang pemuda tersenyum-simpul, sang isteri terpana hingga mata mahu tersembul. Oh! itu kekasihnya, Din Berjambul!




Ibu dan bapa mertua sangat kecewa, apatah lagi suami yg selama ini asyiknya bercinta, menantu dan isteri yg di cari bukanlah seperti yg disangka, kisah hitam mukabuku menjadi hambatan dosa. Sang isteri menangis dan berkata sudah taubat nasuha, sucinya orang yg bertaubat pada Yang Esa, namun apalah maknanya pada manusia, yg mahu dilihat hanya kata nista.

Ingatlah wahai sahabatku, ini semua gara-gara nafsu si mukabuku, usah tenggelam dalam lautan yg keliru, ambil iktibar tragedi bulan madu.

Sunday 18 September 2011

"EH, KAMU NAK JADI USTAZAH KE?"

Hari itu adalah hari penyerahan kad laporan peperiksaan. Seperti biasa ibu bapa sibuk bertemu dengan guru-guru kelas dan guru-guru yang mengajar untuk mengetahui prestasi anak-anak mereka. Tiba-tiba datang rakan saya Ustazah Sal mengadu.

"Macam-macam perangai la parents ni!" rungut Sal 

"Kenapa Sal?" Tanya saya

"Tu, ada mak pelajar saya tadi, anak dia dapat 96% untuk subjek Pendidikan Islam, dia bukannya bersyukur, tapi kata pulak kat anak dia.."

"Kata apa?" tanya saya ingin tahu.

"Sambil marah, dia sindir pada anak dia, "Eh, kamu nak jadi ustazah ke, dapat agama tinggi nih?" Mana saya tak sedih" kata Sal.

"Dah la tak syukur, pandang rendah pula kat subjek Pendidikan Islam, lepas tu, ingat jadi ustazah tu hina sangat ka" tambah Sal lagi.

Saya perasan, memang Sal amat terkilan, saya pun terkilan. Ini bukan masalah menjatuhkan air muka seorang rakan, tapi soal sikap ibu bapa hari ini. Serta sikap segelintir masyarakat secara keseluruhannya. Pendidikan Islam dianggap tidak penting dalam senarai pencapaian akademik mereka. Biar Pendidikan Islam dapat rendah, asalkan subjek lain terutamanya Matematik dan Sains dapat tinggi. Baru masa 'depan' terjamin, fikir mereka.

Namun lebih jauh dari itu, terdetik di hati, Pendidikan Islam bukan sahaja untuk dikuasai semasa peperiksaan, bahkan matlamat sebenarnya adalah untuk diamalkan. Hari ini manusia memandang rendah pada pendidikan Islam sebab mereka melihat pendidikan ini menggunakan kacamata maddiyyah (kebendaan). Mereka lihat masa depan yang dekat. Tidak mencecah ke alam yang satu lagi.




Realitinya kini agak berbeza. Daripada sekian ramai pelajar-pelajar yang melangkah pergi sekolah, berapa ramai yang belajar kerana Allah. Sekurang-kurangnya untuk pendidikan Islam, tasawur Islam atau seumpamanya, berapa ramai yang ikhlas untuk mengamalkan ilmu serta mendakwahkan kepada orang lain.

Daripada sekian ramai ibubapa yang menghantar anak ke sekolah, berapa ramai yang mengharapkan anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah, bukan sekadar mengharapkan anaknya menjadi doktor yang hebat serta jurutera yang cekap.

Soalan yang saya sendiri tak mampu menjawabnya.

Saya teringat lagi hari penyerahan kad laporan itu. Memang tak dinafikan ramai ibu-ibu yang tidak bertudung, memakai jean, blaus dan seumpamanya. Tapi, namanya Islam. Ibu-ibu inilah yang akan dan sedang mendidik anak-anak muda generasi baru.. Salah satunya saya sapa:

"Assalamualaikum, puan!"

"Selamat pagi" jawabnya.


Terkedu saya dibuatnya.


[Kredit kepada Princess_Rose]

ANA, HABIBI & ALLAHU RABBI

Soalnya nikah sering diperi, oleh sang teruna mahupun gadis sunti, anak dara menjadi idaman hati, oleh si bujang yg tercari-cari. Soalnya hati sukar dimengerti, sudah dinasihati makin menjadi-jadi, disuruh ikut agama masih ada dakwa-dakwi, bukan menghalang cuma mahu segala ikatan suci dan murni.

Orang jahil, si buta bahkan si bisu, semuanya mahu melampiaskan nafsu, bernikahlah untuk menghalalkan yg satu itu, walaupun besar tanggungjawab untuk dituju, asalkan bukan dosa yg dipalu.

Apalah guna bertudung litup, segala sudut mahu ditutup, jika 'berabang sayang' saat belum ijabkabul termaktub, adalah lebih baik jasad diletup.

Orang asing tetap orang asing (ajnabi), walau ikatan hati terpatri mati, tanpa nikah tetaplah dilaknati, lafaz dahulu kemudian buatlah hal sendiri, tiada siapa yg mahu mencaci, apatah lagi Allah akan berkati.




Allah s.w.t. telah berfrman : 

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Ya Sin: 36)

Percayalah dengan janjinya Tuhan, sampai waktunya pasti berpasangan, jika waktunya hanyalah sesudah hari pembalasan, Allahumma...pastinya pasangan adalah anugerah terindah dan trehebat dari Tuhan.

Saturday 17 September 2011

BIDADARI OH BIDADARI

Bidadari. Bila pandang kanan dan kiri, rata-rata lelaki bicara tentang empunya diri, sang bidadari. Bila dikata syahid menjadi mahar yg pasti, berteleku sang lelaki dipinggir kali, saat mahu berwudhuk menyuci diri, menyembah diri pada Ilahi, supaya menjadi si soleh sejati, dulu dan kini bahkan hingga ke syurgawi.



 Bidadari yg menjadi janji sebuah perjuangan.


Boleh saja impikan bidadari, tiada yg ralat dengan janji Rabbul Izzati, cumanya perlu fokus mengapa diri diwujudkan di alam ini, maka bidadari bukan lagi yg bermain dalam mimpi, hanya Allah dan Rasul didalam hati.



 Ratu Bidadari idaman, bergelar sang isteri sayap kiri perjuangan.


Bidadari bermata jeli, terasa itulah yg membuat lelaki galaunya hati, bimbang tiada houri yg akan menanti, bila kaki menjejak syurgawi. Duhai lelaki tahukah sang isteri, juga adalah bidadari, bahkan bergelar Ratu Bidadari, tiada terperi cemburunya sang bidadari syurgawi, kerana sang isteri menjadi keutamaan yg terpatri.


AURAT DAN URAT

Aurat. Bertegang urat untuk sesuatu yg terang-terangan telah diwasiat, oleh Rasulullah s.a.w yg cintakan ummat, tanpa jemu Baginda s.a.w memerah keringat, darah mengalir tiada daya dan larat, "Ummati...Ummati...Ummati" adalah kata-kata keramat, dari Baginda s.a.w yg sujud dan taat, kepada Tuhannya Yang maha Melihat.


Isu yg mengundang polemik. Khususnya muslim Malaysia yg suka mencemik, bila uruf telah dicarik, oleh agama yg selama ini hanya diamalkan untuk sesetengah detik, mulalah buat-buat pelik, bila generasi yg penuh kesedaran telah celik, dari syaitan yg suka memetik taktik, nauzubillahi min zalik.


Muslim negara lain tidak menjadikan ia sebagai suatu isu yg payah nak difahami dan diikuti. Tiada dakwa-dakwi, yg buat serabut minda dan racau dihati, hingga terbuang masa yg tiada boleh diputar kembali, lalu peluang menambah amal jariah berlalu pergi, tanpa menanti insan yg rugi.





Definasi aurat juga tak ramai cuba fahami, walaupun berulang-ulang kali diberi input itu dan ini. Aurat dan tudung masih lagi dianggap sama, walhal tudung hanyalah sehelai kain yg menjadi tabir sang muslimah muda dan tua.

Bersusah-payah mencari dalil-dalil, menebak maksud hadis sebagai kail. Mentafsir Al-Quran dengan minda sendiri, hanya kerana untuk membenarkan perlakuan berdasarkan aqli, mempermainkan risalah Ilahi, tanpa rasa bersalah bahkan sukanya dihati.


Bila diberi segala aqli dan naqli, lantas dikatakan da'i memperli, walhal hati sendiri sudah terasa geli, dengan kesucian yg dicemari, oleh lidah dan jemari sendiri.


Allah Rabbul Izzati, kasihanilah hamba-Mu ini, masukkanlah kami ke syurga-Mu dengan dirahmati, jauhkanlah kami dari neraka-Mu yg sangat ngeri. Allahu Rabbi...